Perjuangan Hindraf kaum India telah dikelirukan,
berjuanglah bersama kaum Cina untuk masa depan bersama
– Artikel Nyam Kee Han dalam Malaysiakini
❝Untuk memperkembangkan Hindraf, kaum India sendiri perlu memainkan peranan berdikari dan autonomi, dan terus berjuang dengan berpegang kepada semangat perjuangan Hindraf. Pada masa yang sama, bergabung dan berjuang bersama dengan kaum-kaum yang ditindas (terutamanya kaum Cina). Dengan itu, pergerakan reformasi demokratik di Malaysia baru ada masa depan, negara kita baru akan maju dan makmur.❞
Artikel berikut ditulis oleh Nyam Kee Han (kanan) dan telah diterbitkan di Malaysiakini (Cina) pada 16 Dis 2021. Penulis menulis artikel ini kerana berperasaan atas kekeliruan perjuangan Hindraf yang disebabkan oleh “pemimpin-pemimpin”. Artikel ini diterbitkan dalam seksyen “surat daripada pembaca” (Cina) dengan tajuk asal “Kaum Cina dan India perlu berjuang bersama”.
Penulis memperolehi Sarjana Muda di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru dan Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis pernah berkhidmat di Sekolah Merdeka Cina. Penulis sekarang bekerja sebagai Agent Relations Manager di Raffles University, Iskandar Puteri, Johor. Penulis menghabiskan masa lapang dalam usaha menerokai keterasingan kaum dan masalah reformasi demokratik di negara kita. Penulis kini adalah salah seorang (daripada tiga) ahli Presidium Sahabat Rakyat.
Teks penuh seperti di bawah (sub-tajuk ditambah oleh Editor Sahabat Rakyat) diterjemahkan dari versi asal dalam bahasa Cina. Sila rujuk kepada versi asal Bahasa Cina jikalau terdapat percanggahan antara versi Bahasa Melayu dengan versi asal Bahasa Cina.
Tidak lama lagi kita akan menyambut ulang tahun kenangan ke-36 mendiang Lim Lian Geok. Dalam bulan Disember setiap tahun, terdapat banyak artikel berkenaan Lim Lian Geok atau semangat perjuangan beliau yang mana konteks artikel-artikel ini dari segi politik, ekonomi, budaya dan pendidikan masyarakat Cina. Semua orang boleh mengenangi mendiang Lim Lian Geok. Oleh sebab itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membincangkan isu masyarakat India. Mendiang Lim Lian Geok menentang pemerintahan hegemoni perkauman Melayu, menuntut kedudukan kesamarataan pendidikan pelbagai kaum, dan turut berjuang demi kedudukan kesamarataan semua kaum tertindas (termasuk kaum India) dalam negara. Saya berharap akan ada lebih banyak artikel yang meninjau dan membincangkan cara-cara untuk menggalakkan kedua-dua kaum tersebut supaya saling belajar dan saling faham-memahami. Dengan itu, beransur-ansur membuka peluang politik dua kaum besar ini (termasuk semua kaum tertindas) untuk berjuang bersama. Pada masa itu, hasrat untuk mencapai kesamarataan kaum di Malaysia hanya sekitar sudut.
Impak politik “Perhimpunan besar-besaran Hindraf 2007”
Kita tidak boleh endahkan insiden perhimpunan besar-besaran Hindraf untuk berbincang berkenaan isu masyarakat India. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-14 perhimpunan Hindraf. Perhimpunan yang berlangsung pada 2007 merupakan simbol perjuangan besar-besaran massa tertindas (terutamanya kaum India) untuk memperjuangkan hak dan melindungi maruah kaum, yang pertama kali memandang rendah terhadap ugut dan tipu helah perkauman dan menembusi ancaman “keganasan putih”, dan berdiri di barisan hadapan menentang pemerintahan hegemoni perkauman Melayu! Insiden tersebut ada persamaannya dengan cabaran dan proses perjuangan tiga pemimpin cemerlang masyarakat Cina (iaitu Lim Lian Geok, Sim Mow Yu, Lim Fong Seng) ketika mereka memimpin masyarakat Cina memperjuangkan hak kesamarataan pendidikan bahasa ibunda.
Akhirnya, perhimpunan Hindraf tersebut berjaya menjadikan keluhan dan penderitaan yang dialami oleh kaum India dari zaman penjajahan British sehingga zaman pemerintahan yang didominasi klik hegemoni Melayu suatu kekuatan yang membawa impak yang ketara dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 (PRU-12). Ia tidak sahaja memberi tamparan hebat kepada klik pemerintah UMNO-BN, malahan membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat. Namun, Pakatan Rakyat berpecah apabila PAS mengetepikan pendirian politik “negara kebajikan” dan bertegas melaksanakan ideologi politik “negara Islam”. Maka, satu perikatan politik yang baru dilahirkan – Pakatan Harapan (PH). Kemudiannya, tidak perlulah saya huraikan lagi perkembangan politik PH selepas PPBM yang diketuai Mahathir (pada masa itu) menyertai PH dan keluar daripada PH. Saya berpandangan bahawa pergerakan reformasi demokratik negara kita berkembang pesat sebelum dan selepas PRU-12 dan bukannya pada PRU-14 2018. Adalah terbukti bahawa sesebuah parti atau perikatan politik hanya akan bertambah kuat sekiranya mereka memegang kepada prinsip halatuju perjuangan politik yang menerima kepelbagaian dan demokratik, terutamanya memandang serius terhadap tuntutan masyarakat Cina dan India.
Kaum Cina dan kaum India adalah “senasib” di bawah penindasan kaum
Sebenarnya, pengalaman kaum India dan kaum Cina lebih kurang sama. Kedua-dua kaum ini boleh dikatakan “komuniti senasib”. Kedua-dua kaum Cina dan India dibawa masuk ke Malaya pada abad ke-18 dan 19 oleh penjajah British sebagai buruh murah. Kedua-dua kaum juga sememangnya telah menyumbang kepada pembangunan Malaya (Malaysia) dengan kerja keras dan darah peluh dan kemudiannya menjadi warganegara Malaya (Malaysia). Oleh sebab itu, kedua-dua kaum sepatutnya melahirkan lebih rasa empati terhadap satu sama lain dan lebih senang berganding bahu dan berjuang bersama demi negara yang lebih adil dan saksama.
Apa yang mengejikan adalah, klik pemeritah hegemoni Melayu dan politikus Melayu menguasai Teknik pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah British dan terus mempergunakannya untuk memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum. Tujuan sebenar supaya rakyat pelbagai kaum tidak kenal siapa musuh utama. Selama ini, mereka mempropagandakan sentimen bahawa “Kaum Cina ialah pendatang tetapi mereka menguasai ekonomi negara, oleh itu, kaum Melayu mesti menguasai politik negara supaya hak dan kepentingan Melayu tidak terjejas. Kaum India pula boleh diabaikan dan dijauhi kerana mereka selalu kotor dan menimbulkan masalah sebab mabuk.” Stereotaip sebegini telah bertukar menjadi rasis (diskriminasi perkauman) dan meracuni pemikiran rakyat pelbagai kaum. Ini bertujuan supaya rakyat pelbagai kaum terus berpecah belah dan tidak dapat memecahkan keterasingan kaum, supaya mereka dapat terus memerintah.
Hindraf sesat kerana “pemimpin-pemimpin”
Mujur masyarakat Cina (terutamanya dalam pergerakan pendidikan bahasa Cina) mempunyai 3 model pemimpin cemerlang dalam perjuangan menentang pemerintahan hegemoni Melayu. Oleh itu, masyarakat Cina boleh dikatakan mempunyai pengalaman perjuangan hak kesamarataan pendidikan bahasa ibunda yang bernilai dan kaya. Apa yang mengesalkan ialah, semangat perjuangan Hindraf yang berasal daripada perhimpunan besar pada 2007 bukan sahaja tidak dapat berterusan, malahan semakin sesat sebab “pemimpin-pemimpin”. Kini, pemimpin-pemimpin Hindraf dalam perhimpunan 2007, ada yang menyertai parti pembangkang (DAP dan PKR), ada yang dijual-beli oleh kerajaan BN, ada yang “hilang”, dan yang dua abang adik pula bermusuh.
Waytha Moorthy mengemukakan 4 pandangan yang mengelirukan massa kaum India
Sehingga kini, Wayha Moorthy seorang sahaja yang masih menggunakan nama “Hindraf” tetapi untuk “matlamat diri sendiri”. Kita boleh mendapat sedikit sebanyak petunjuk daripada artikel ulang tahun Hindraf di Facebook Waytha yang diterbitkan pada 25 Nov. 4 hujahan dan dasar yang dikemukakan oleh Waytha adalah seperti berikut:
(1) Dia menyatakan bahawa Hindraf akan mengambil satu strategi yang baru, iaitu memperkasakan rakyat dari segi kuasa politik walaupun tiada kerusi Dewan Rakyat yang majoritinya kaum India;
(2) Dia melihat penjawatan sebagai Menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 20 bulan sebagai bab baru. Dia berkawan dengan penjawat awam dan menjadikan diri sebahagian daripada sistem negara, dan seterusnya membantu komuniti India untuk membangunkan diri;
(3) Tanggungjawab utama dia semasa menjadi Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial ialah membangunkan ekonomi dan sosial komuniti India dan orang asli. Oleh itu, dia percaya bahawa lebih banyak matlamat boleh dicapai jika ada pemimpin India yang baik dipilih sebagai ahli parlimen;
(4) Dia berpandangan bahawa 20 bulan (sebagai Menteri) tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah dan derita yang dialami oleh masyarakat India selama 200 tahun. Justeru itu, Parti Kemajuan Malaysia (Malaysia Advancement Party) dilahirkan daripada Hindraf dan mengambil pendekatan politik yang baru. Dia berpendapat ini adalah satu-satunya jalan yang boleh menyelesaikan masalah kemiskinan dan peminggiran kaum India selama-lamanya.
Adalah jelas bahawa Waytha Moorthy cuba buangkan semangat perjuangan Hindraf dan bertukar kepada semangat runding bicara. Dalam erti kata lain, harapan kaum India tertakluk kepada samaada dia dipilih sebagai ahli parlimen atau dilantik sebagai Menteri. Adakah ini bermaksud wakil-wakil Dewan Rakyat dan DUN dari MIC, PKR ataupun DAP pasu belaka? Hanya Waytha sahaja yang mampu dan orang lain tidak? Apakah ini benar?
Watha Moorthy tidak berani berdepan dengan kecohan politikus Melayu
Dari segi politik, sebelum ini MCA dan Gerakan pernah menjadi wakil maysarakat Cina dalam kerajaan pusat, kemudiannya DAP juga pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat. Pertubuhan atau organisasi sosial masyarakat Cina juga sempurna, seperti DongZong, JiaoZong, Dewan-dewan Perhimpunan Cina, Persatuan Perniagaan dan Perindutrial Cina, Persatuan Clan dan lain-lain masing-masing mempunyai tahap perwakilan tertentu. Namun begitu, kami masih tidak dapat menyelesaikan masalah Pendidikan Cina setelah berjuang selama lebih setengah abad, malahan pengiktiraf UEC pun tidak tercapai. Jalan untuk sampai destinasi masih jauh lagi!
Kalau kita lihat semula prestasi Waytha Moorthy, terdapat banyak contoh yang membuktikan dia seorang politikus yang bercita-cita tinggi dan bukanya pemimpin Hindraf (yang bersemangat berjuang). Contoh yang terdekat semasa dia menjadi Menteri kali kedua: Ketika Waytha berbahas dalam parlimen sebab-sebab kerajaan perlu menandatangani ICERD, dia tidak mempertahankan hujah-hujahnya apabila politikus-politikus Melayu berkecoh terhadap hujah dia. Malah, dia memilih cara untuk elak berdepan dengan mereka dan menggunakan hujahan teknikal untuk membalas dan mentafsir Perlembagaan Persekutuan (termasuk Perkara 153). Dia turut mengatakan bahawa tiada kandungan yang mendiskriminasi mana-mana pihak dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi kerajaan terdahulu (merujuk kepada kerajaan BN) yang mendiskriminasi kaum India.
Sebaliknya, Waytha diejek tidak konsisten oleh politikus Melayu. "Masalahnya, Menteri tak layak (bercakap), dalam cakap lain, luar cakap lain, ini bukan Menteri Perpaduan," kata Ahli Parlimen UMNO-BN Tanjung Karang, Noh Omar. Dalam erti kata lain, Waytha Moorthy pernah mengatakan bahawa Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah akar punca kepada diskriminasi perkauman di Malaysia, tetapi kini menafikan sebarang kandungan diskriminasi dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah yang boleh diharapkan oleh massa kaum India daripada seorang “pemimpin” yang turut dipandang rendah oleh politikus Melayu?
Menegaskan perjuangan dan bergabung perjuangan dengan kaum lain baru ada harapan
Perbezaan terbesar antara masyarakat India dan Cina ialah kaum India tiada contoh pemimpin cemerlang seperti Lim Lian Geok, Sim Mow Yu dan Lim Fong Seng yang tegar berjuang demi maruah kaum dan bukan untuk kepentingan diri. Walaupun demikian, saya percaya bahwa “di mana berlaku penindasan, di situlah timbul penentangan” adalah benar. Maka, kaum India (dan kaum Cina) masih ada harapan. Semua orang boleh menggelar dirinya “ahli Hindraf” sekiranya dia meneruskan semangat perjuangan Hindraf yang berani menentang pemerintahan hegemoni Melayu. Untuk memperkembangkan Hindraf, kaum India sendiri perlu memainkan peranan berdikari dan autonomi, dan terus berjuang dengan berpegang kepada semangat perjuangan Hindraf. Pada masa yang sama, bergabung dan berjuang bersama dengan kaum-kaum yang ditindas (terutamanya kaum Cina). Dengan itu, pergerakan reformasi demokratik di Malaysia baru ada masa depan, negara kita baru akan maju dan makmur.